Pages

Saturday 28 April 2012

Perhimpunan Bersih 3.0 Aman dan Ceria

Kuala Lumpur 28 Apr – Perhimpunan aman menuntut pilihanraya yang adil dan bersih hari ini bermula dengan acara yang ceria apabila kelihatan seorang anggota keselamatan, Inspektor Yap, menerima bunga berwarna kuning daripada peserta perhimpunan sambil diperhatikan dengan senyuman oleh rakan-rakannya yang sedang membuat benteng polis di Jalan Sultan.
Setakat jam 1 tengah hari, peserta duduk dan bantah Bersih 3.0 telah membanjiri ibu kota dari segenap pelosok termasuk dari Masjid Jamek dan Jalan Tun Perak, serta kebanjiran manusia yang sedang berarak dari KLCC setelah selesai Himpunan Hijau yang berlangsung di sana.
Namun begitu terdapat laporan bahawa pihak keselamatan telah bersiap sedia dengan meriam air dan alat bunyi nada tinggi untuk menyuraikan demonstran yang semakin bertambah sejak lewat malam semalam.
Pada waktu yang sama, perhimpunan Bersih sedang turut berlangsung di kota-kota di Australia, New Zealand dan Jepun di samping perhimpunan lokal di Kota Kinabalu Sabah.


Gambar ehsan @NickChengCheng.

Tiba-tiba siaran berbayar ASTRO hujung minggu ini jadi percuma

 Orang Malaysia suka tengok televisyen. Dulu waktu tak ada TV, kita main gasing, wau bulan, dan kadang kala berhimpun melawan Malayan Union. Tapi itu dulu. Sekarang sudah ada televisyen. Maka kita isi masa lapang dengan menonton televisyen. Sejak ada ratusan rangkaian di ASTRO, kita pun semua jadi suka tengok ASTRO. ASTRO ini Ananda Krishnan punya. ASTRO kebetulan baru saja memenangi People’s Choice Putra Brand Awards. Di laman webnya ASTRO mengucapkan terima kasih kepada sekalian pelanggannya dengan memberikan akses percuma kepada semua 130 salurannya secara percuma sampai 6 haribulan Mei nanti. Maka terlepoklah sekalian suri rumah menghadap sinetron lepas Zohor sambil lipat kain. “Eh Yang, bila pulak kita dapat channel tu? Abang tak ada langgan pun!” kata kau, separuh terkejut melihat isteri kau menonton sinetron Indonesia yang tidak pernah kau langgani, tepat waktunya kau mahu tengok orang puteh di England main sepak bola. Menjelang perhimpunan aman BERSIH 3.0 esok petang, agaknya apa yang disiarkan ASTRO, yang secara tiba-tiba menganugerahkan rancangan televisyen percuma kepada mereka yang lebih selesa duduk rumah, terbongkang tengok TV daripada turun ke Kuala Lumpur bersama ratusan ribu rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama menuntut pilihan raya yang bersih, adil dan bebas. Adakah rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu, yang begitu suka tengok TV akan memilih untuk lepak tengok ASTRO berbanding turun ke jalan-jalan Kuala Lumpur dan mendesak reformasi sistem pilihan raya yang lebih telus? Adakah minda Melayu boleh dibeli dengan rancangan TV percuma?